Wednesday, 25 May 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "REDA ATAU TIDAK KEPADA NAFSU PUNCA MAKSIAT ATAU TAAT"


INDUK SEGALA MAKSIAT, SYAHWAT DAN KELALAIAN ADALAH REDA TERHADAP NAFSU DAN SUMBER SEGALA TAAT, TERPELIHARA DIRI (DARI SYAHWAT) DAN BANGUN (PADA TAAT) ADALAH TIDAK REDA KEPADA NAFSU.

BERSAHABAT DENGAN ORANG JAHIL YANG TIDAK MENURUT HAWA NAFSU  LEBIH BAIK DARIPADA BERSAHABAT DENGAN ORANG ALIM YANG TUNDUK KEPADA NAFSU. ILMU APAKAH YANG DAPAT DIPANGGIL BAGI ORANG ALIM YANG DITAWAN OLEH NAFSUNYA, SEBALIKNYA KEJAHILAN APAKAH YANG DAPAT DISEBUTKAN BAGI SESEORANG YANG SUDAH DAPAT MENGEKANG NAFSUNYA.

Hikmat 42 memaparkan sifat iblis yang menyalahi ubudiyah. Hikmat 43 dan 44 ini pula akan menghuraikan nafsu, yang biasa dipanggil hawa nafsu. Terdapat perbezaan antara sifat iblis dengan hawa nafsu. Sifat iblis adalah pendatang haram sementara hawa nafsu adalah tuan rumah yang mengizinkan pendatang haram tinggal di rumahnya. Tidak mungkin ada sifat yang menyalahi ubudiyah jika tidak ada hawa nafsu. Malaikat tidak mempunyai hawa nafsu, sebab itu mereka sentiasa taat dan menjalankan tugas mereka dengan sempurna, malah mereka tidak tahu berbuat derhaka kepada Allah s.w.t. Matahari tidak ada hawa nafsu, sebab itu ia tidak menyimpang dari orbitnya. Manusia mempunyai hawa nafsu sebab itu manusia boleh berbuat tidak taat dan boleh lari dari jalan lurus yang dibentangkan kepada mereka.

Iblis dan kuncu-kuncunya iaitu syaitan bertindak memberi saranan dan cadangan tetapi tidak berkuasa menggerakkan mana-mana anggota manusia supaya  melakukan sesuatu yang dia ingini. Tetapi, jika hawa nafsu menerima saranan dan cadangan iblis itu maka hawa nafsu berkuasa memaksa anggota tubuh badannya supaya berbuat sebagaimana yang disarankan oleh iblis itu. Iblis menyalurkan sifat-sifat, dan hawa nafsulah yang menerima serta memakai sifat-sifat tersebut. Satu perkara yang ketara adalah saranan atau idea yang disampaikan oleh iblis dan syaitan kepada hawa nafsu itu dirasai oleh hawa nafsu bahawa saranan itu datang dari dirinya sendiri, bukan disalurkan kepadanya dari sumber lain. Hawa nafsu akan mempertahankan pendapat iblis dan syaitan yang diterimanya itu seperti dia mempertahankan pendapatnya sendiri bahkan dia mendabik dada mengakui bahawa pendapat tersebut adalah pendapatnya sendiri. Karl Marx yang menyebarkan fahaman tidak bertuhan tidak mengatakan fahaman itu sebagai rencana iblis tetapi dia mengakui bahawa dialah yang menemui fahaman tersebut. Peter yang menyebarkan fahaman Tuhan tiga dalam satu tidak mengatakan iblis yang mengajarnya tetapi mengatakan dia menerima wahyu dari Tuhan. Begitulah kebodohan dan kesombongan hawa nafsu yang tidak sedar dirinya ditunggangi oleh iblis dan syaitan. Apabila dia menerima cadangan dari iblis dan syaitan dia derhaka kepada Tuhan dan melakukan syirik terhadap-Nya.

Hawa nafsu bukan setakat mampu menerima rangsangan dari iblis dan syaitan malah dia sendiri berupaya merangsang dirinya sendiri tanpa dirangsang oleh iblis dan syaitan. Rangsangan yang muncul dari hawa nafsu sendiri mengarah kepada melakukan maksiat, memenuhi tuntutan syahwat dan asyik dengan perkara yang melalaikan. Apabila iblis dan syaitan memberi rangsangan yang sesuai dengan sifat nafsu itu sendiri mudahlah dia melakukan maksiat dan kemunkaran. Dia tidak berasa sedih bila berbuat kejahatan dan tidak berasa rugi bila hanyut di dalam lautan kelalaian. Apa yang penting baginya ialah memenuhi apa yang dia ingini tanpa menghiraukan akibatnya.

Seseorang yang diistilahkan sebagai jahil tetapi tidak menurut hawa nafsu, tidak ada padanya sifat megah, sombong, takbur dan bodoh. Dia boleh tunduk kepada kebenaran jika kebenaran dibentangkan kepadanya. Dia boleh juga menyampaikan kebenaran yang diketahuinya kepada orang lain. Jadi, kebodohan apakah yang boleh dikatakan kepada orang seperti ini yang bersedia menerima dan menyampaikan kebenaran. Orang yang diistilahkan sebagai alim pula, bagaimana boleh dikatakan alim jika dia menurut hawa nafsunya, memakai sifat bodoh dan sombong, menolak kebenaran jika datang dari orang lain atau tidak secucuk dengan kehendak nafsunya. Orang alim yang menurut hawa nafsu tidak mengajak manusia menyembah Allah s.w.t sebaliknya mengajak mereka menyembah ilmunya. Manusia lain menjadi alat baginya untuk menaikkan ego dirinya sendiri. Oleh yang demikian adalah lebih baik jika bersahabat dengan orang jahil yang tidak tunduk kepada hawa nafsunya. Kejahilan tidak menghalangnya untuk mengenali kebenaran dan dia juga mampu memberi sokongan ke arah kebenaran.

Sifat iblis adalah hijab diluar hati dan hawa nafsu adalah hijab di dalam hati. Jika hijab diluar disingkapkan dengan tenaga kebenaran, maka hijab di dalam ini juga perlu disingkapkan dengan tenaga kebenaran. Nafsu mesti ditundukkan kepada kebenaran. Pekerjaan ini bukanlah mudah kerana nafsu kita adalah diri kita sendiri. Tidak ada beza pada hakikatnya diantara nafsu, hati dengan diri. Memerangi hawa nafsu bererti memerangi diri sendiri. Di dalam diri sendiri itu berkumpul kemahuan, cita-cita, ilmu pengetahuan dan lain-lain. Apabila mahu berperang dengan diri sendiri tidak boleh meminta pertolongan kepada diri sendiri. Ilmu tidak berdaya menentang hawa nafsu kerana ilmu adalah alatnya dan alat akan patuh kepada tuannya. Perbahasan ilmu yang berlarutan akan menambahkan kekeliruan dan akan meneguhkan nafsu. Makrifat juga tidak boleh digunakan untuk melawan hawa nafsu kerana jika makrifat digunakan ia akan menarik ke dalam ilmu, maka terjadilah yang serupa. Oleh itu jangan meminta tolong kepada ilmu  dan jangan meminta bantuan makrifat untuk melawan nafsu tetapi larilah kepada Allah s.w.t. Menjeritlah sekuat-kuat hati, pintalah pertolongan-Nya. Istiqamah atau tetap di dalam ubudiyah, menunaikan kewajipan sambil terus berserah diri kepada-Nya, itulah kekuatan yang dapat menumpaskan hawa nafsu. Jangan sekali-kali menuntut kekeramatan kerana ia juga menjadi alat hawa nafsu. Tetaplah di dalam ubudiyah, tidak berubah keyakinan terhadap Allah s.w.t, kekuasan-Nya, kebijaksanaan-Nya dan ketuhanan-Nya baik ketika sihat atau sakit, senang atau susah, kaya atau miskin, suka atau duka. Apabila wujud sifat reda kepada ketentuan Allah s.w.t, itu tandanya hawa nafsu sudah tunduk kepada kebenaran.

Tuesday, 24 May 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "SIFAT YANG MENYALAHI UBUDIYAH"


KELUARLAH DARI SIFAT-SIFAT KEMANUSIAAN YANG BERTENTANGAN DENGAN UBUDIYAH SUPAYA MUDAH BAGI KAMU UNTUK MENYAHUT PANGGILAN ALLAH  DAN MENDEKAT KE HADRAT-NYA.

Hikmat 41 menyingkap tentang hijab-hijab. Melalui huraian ternyata betapa sukarnya untuk melepasi hijab-hijab sebelum sampai kepada Allah s.w.t. Hikmat 42 ini memberi panduan untuk melepasi halangan dan mendekat kepada-Nya. Kita diajak supaya melepasi sifat-sifat kemanusiaan yang menyalahi ubudiyah. Sifat ubudiyah yang sejati ialah sifat malaikat kerana malaikat adalah hamba Allah s.w.t yang paling tepat melaksanakan perintah-Nya. Sifat yang paling menyalahi ubudiyah ialah sifat iblis kerana iblislah yang paling derhaka kepada Allah s.w.t. Jadi, Hikmat ini boleh membawa maksud, keluarlah dari sifat-sifat iblis dan masuklah kepada sifat-sifat malaikat supaya kita boleh melaksanakan tuntutan Allah s.w.t dengan tepat dan kita dapat mendekat ke Hadrat-Nya. Dalam diri manusia ada sifat-sifat malaikat dan ada pula lawannya iaitu sifat-sifat iblis. Mesti dibuat pengasingan di antara kedua-dua jenis sifat tersebut. Mesti diistiharkan jihad terhadap iblis yang menyalurkan sifat-sifatnya ke dalam diri kita.

Sifat-sifat iblis, sekiranya disenaraikan, sangatlah banyak. Sudah memadai jika dirumuskan bahawa apa juga yang menyekat atau melengahkan kita daripada menyempurnakan tuntutan Allah s.w.t adalah berpunca daripada sifat iblis. Jalan untuk menghapuskan sifat-sifat yang demikian ada dua, iaitu jalan panjang dan satu lagi, jalan singkat. Jalan panjang adalah mengenal satu persatu semua sifat buruk itu, mempelajari cara ia bertindak, kesannya kepada diri kita, tanda kita memilikinya, cara mencegahnya sekiranya belum dijangkiti dan cara mengubatinya jika sudah dijangkiti. Jalan yang paling singkat adalah meninggalkan apa sahaja yang selain Allah s.w.t, berpegang kepada firman-Nya ayat 91, surah al-An'aam yang bermaksud:

Katakanlah, “Allah!” dan biarkan mereka bermain-main dalam kesesatan mereka.

Penting bagi orang yang belum mencapai makam keteguhan untuk tidak mempedulikan apa yang berlaku di sekelilingnya kerana dia belum dapat memisahkan dirinya dari sifat-sifat kemanusiaan. Dia masih melihat perbuatan makhluk. Campurtangannya dalam urusan makhluk menutup pandangan mata hatinya dari Tuhan. Kekeruhan dalam kehidupan dunia akan memalapkan cahaya rohaninya. Lebih baik jika dia membenamkan dirinya ke dalam ibadat, zahirnya bersungguh-sungguh di dalam syariat dan batinnya teguh dengan iman. Ingatlah, dunia adalah puteri iblis. Sesiapa yang berkahwin dengan si puteri ini pasti si bapa akan kerap mengunjunginya.

Sifat iblis adalah ingkar kepada kebenaran. Iblis adalah tenaga gelap. Kebenaran pula adalah cahaya. Dalam melakukan pekerjaan menghalang cahaya kegelapan iblis mengenderai kegelapan nafsu. Apabila kegelapan nafsu yang ditambahkan lagi dengan kegelapan iblis membalut hati maka hati tidak akan dapat menerima cahaya kebenaran. Balutan ini menutup mata  hati dari menyaksikan al-Haq. Sifat iblis dan sifat nafsu menjadi tenaga yang bertindak menolak sebarang kebenaran yang ingin masuk ke dalam hati. Walaupun akal boleh mengakui kebenaran namun, tenaga sifat iblis akan menghalang hujah akal dari diterima oleh hati. Sebab itu orang yang mengakui kebenaran masih juga boleh berbuat perkara yang berlawanan dengan pengakuannya itu. Tenaga iblis dan tenaga nafsu itulah yang membentuk tenaga ingkar (kufur atau menolak kebenaran). Tenaga kekufuran ini akan menawan hati semua orang, termasuklah hati orang-orang Islam.   Kehadiran tenaga ini dalam diri mengheret seseorang kepada perbuatan fasiq, kemunafikan, kekafiran, kemusyrikan, maksiat dan segala perkara yang dimurkai Allah s.w.t.

Tenaga ingkar ini mesti dihapuskan dengan cara menekannya sekuat mungkin dengan tenaga kebenaran. Antara kebenaran yang mahu ditekankan dan dimasukkan ke dalam hati adalah pengakuan-pengakuan : “Allah Maha Suci! Allah Maha Besar! Segala puji untuk Allah! Allah Maha Esa dan tiada sesuatu yang bersekutu dengan-Nya! Tiada Tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad s.a.w adalah Pesuruh Allah!”

Bila kita menyebut Maha Suci Allah, bukan bermakna kita menyucikan Allah s.w.t. Allah s.w.t bukanlah tidak bersih hingga perlu disucikan. Maha Suci Allah itu sempurna kesucian-Nya sejak azali hingga kepada tanpa kesudahan. Dia tidak memerlukan makhluk untuk menyucikan-Nya dan tidak ada makhluk yang layak berbuat demikian. Begitu juga dengan sebutan Allah Maha Besar, bukan bermakna Allah s.w.t itu kecil hingga perlu diperbesarkan. Allah s.w.t sudah cukup besar, sempurna kebesaran-Nya, tidak perlu lagi diperbesarkan dan tidak ada makhluk yang layak memperbesarkan-Nya.

Apa juga perbuatan makhluk tidak ada yang mengenai Allah s.w.t. Sebutan hanyalah pengakuan atau penyaksian semata-mata. Kita mengaku yang benar sebagaimana benarnya. Tenaga pengakuan, penerimaan dan ketundukan terhadap kebenaran inilah yang diperlukan oleh hati untuk menjadikannya kuat, bukan untuk faedah Tuhan. Memasukkan tenaga kebenaran ke dalam hati inilah yang dinamakan zikir. Tenaga kebenaran hendaklah dipalu keras-keras kepada tenaga ingkar yang membaluti hati. Apabila dihentam terus menerus tenaga ingkar itu tidak dapat bertahan lalu ia hancur. Bebaslah hati untuk menerima  cahaya kebenaran.

Perlu diperingatkan bahawa fungsi zikir bukanlah untuk memecahkan hijab yang menutupi pintu langit. Kita tidak mahu terbang ke langit. Kita mencari kebenaran yang hakiki dan Kebenaran Hakiki bukan berada di atas langit. Ia berada di dalam diri kita sendiri. Hijab yang menutupi kita daripada Kebenaran Hakiki ini yang hendak dihapuskan.

Rangsangan atau gerakan yang datang daripada tenaga iblis, disampaikan kepada hati yang dibaluti oleh kegelapan nafsu, dalam keadaan hati merasakan bahawa ia datang daripada hati itu sendiri, bukan ia ditekankan oleh tenaga luar. Hijab nafsu menyebabkan hati tidak sedar dan tidak mengetahui yang ia sudah dikuasai oleh tenaga iblis. Apabila hijab nafsu itu berjaya disingkap hati mampu mengasingkan yang asli dengan yang mendatang. Setiap bisikan kepada kejahatan yang sampai kepada hati didengar oleh hati seolah-olah mendengar orang lain menyampaikan bisikan itu. Oleh itu hati mudah mengawasi bisikan yang datang itu. Beginilah suasana hati yang sudah disinari oleh cahaya kebenaran. Hati yang berada dalam cahaya mudah menyelamatkan dirinya daripada terjerumus ke dalam sifat-sifat dan perbuatan yang dimurkai Allah s.w.t.

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "DIRI YANG TERHIJAB, ALLAH S.W.T TIDAK DIHIJAB"


AL-HAQ (ALLAH S.W.T) TIDAK TERHIJAB OLEH SESUATU APA PUN, SEBALIKNYA KAMULAH YANG TERHIJAB DARI MELIHAT KEPADA-NYA. JIKA ALLAH S.W.T DIHIJAB OLEH SESUATU TENTU SESUATU ITU DAPAT MENUTUP ALLAH S.W.T. JIKA ADA SESUATU YANG MENUTUP  ALLAH S.W.T BERMAKNA WUJUDNYA DAPAT DIKURUNG OLEH SESUATU. SESUATU YANG MENGURUNG ADALAH LEBIH BERKUASA DARI YANG DIKURUNG, SEDANGKAN ALLAH S.W.T BERKUASA ATAS SEMUA HAMBA-NYA.

Dunia dan akhirat dan semua yang ada di antara kedua-duanya adalah makhluk yang memenuhi alam. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah makhluk dan mengambil tempat masing-masing di dalam alam. Makhluk ciptaan Allah s.w.t bukan setakat manusia, jin, malaikat, Kursi dan Arasy sahaja bahkan kehendak, cita-cita, angan-angan, khayalan, bahasa, ibarat dan ilmu pengetahuan juga termasuk dalam istilah makhluk yang Allah s.w.t ciptakan. Oleh sebab Allah s.w.t tidak serupa dengan sesuatu maka Dia tidak boleh dibahasakan, diibaratkan, disifatkan, dikhayalkan dan lain-lain. Apa sahaja yang selain Allah s.w.t adalah hijab yang menutup pandangan mata hati dari melihat Allah s.w.t, walaupun Allah s.w.t tidak memakai tutupan. Nama-nama, sifat-sifat dan perbuatan adalah juga hijab.

Sekiranya ada orang yang mampu berkenderaan menjelajah ke seluruh alam maya untuk mencari Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t tidak akan ditemuinya kerana Dia bukan anasir alam. Sekiranya mereka mencari dengan menggunakan bahasa maka Allah s.w.t juga tidak akan ditemui kerana Dia tidak ditakluki oleh hukum bahasa dan ibarat. Ilmu pengetahuan juga tidak sanggup mencapai Yang Esa kerana ilmu masih terikat kepada menyaksikan dan disaksikan iaitu suasana serba dua. Ilmu tidak mampu sampai kepada Yang Esa, yang sama menyaksikan dan disaksikan. Nama-nama juga hijab kerana tidak mampu menzahirkan Yang Empunya nama. Sifat-sifat juga tidak mampu menzahirkan zat. Sifat hanyalah sekadar memperihalkan bagi menggerakkan pemahaman sahaja, sedangkan Dia Maha Suci lagi Maha Tinggi dari apa yang disifatkan. Setelah gagal mencari dalam semua itu seseorang akan sampai ke puncak pencariannya iaitu kejahilan tentang zat Ilahiat dan inilah yang dinamakan makrifat. Orang yang sampai di sinilah yang dipanggil orang yang mengenal Allah s.w.t.

Sekiranya ilmu  mampu melepaskan kita dari medan ilmu, kita akan sampai kepada medan makrifat. Jika kita bersatu dengan ilmu, kita akan terhijab. Ilmu mesti dijadikan kenderaan menuju kepada makrifat. Diri kita tidak boleh disatukan dengan ilmu. Apabila kita tiba kepada makrifat kita akan tercengang-cengang menghadapi hijab kejahilan. Kita terpaksa mengakui bahawa zat Ilahiat tidak dapat diperkatakan dan tidak dapat disifatkan. Orang yang sampai kepada perhentian ini tidak ada jalan lagi baginya untuk sampai kepada Allah s.w.t melainkan menyerahkan dirinya kepada Allah s.w.t dengan menanggalkan apa sahaja yang dianggapnya boleh menyampaikannya kepada Allah s.w.t. Maka keluarlah dia dari apa sahaja yang selain Allah s.w.t. Dibuangnya segala hijab-hijab yang menutupi mata hatinya. Dia keluar dari ilmunya, amalnya, makrifatnya, sifatnya, namanya, bahasa dan ibarat. Pelepasan yang menyeluruh ini adalah pintu masuk ke Hadrat-Nya dan dia masuk dengan kekuatan Nurullah, iaitu tarikan yang langsung dari Allah s.w.t.

Nur berlapis nur, Allah memimpin sesiapa yang di kehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )

Makhluk tidak akan zahir jika tidak ada Nur-Nya. Makrifat tidak mungkin dicapai tanpa suluhan Nur-Nya. Ilmu tidak mungkin diperolehi tanpa penerangan Nur-Nya. Mata hati tidak mungkin boleh melihat tanpa pancaran cahaya Nur-Nya. Allah s.w.t memimpin kepada Nur-Nya siapa yang Dia kehendaki. Orang yang dipimpin kepada Nur-Nya adalah orang yang mampu keluar dari hijab nafsu dan akal. Nafsu ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada keinginan dan cita-cita melainkan mahu bertemu dengan Allah s.w.t. Akal ditundukkan kepada yang hak sehingga tidak ada yang difikir dan direnungi melainkan Wajah Allah s.w.t jua yang menyata pada semua arah. Walau ke arah mana pun dihalakan pandangan akal dan pandangan hati, Wajah Allah s.w.t jua yang kelihatan.

Dan Allah jualah yang memiliki timur dan barat, maka ke mana sahaja kamu arahkan diri (ke kiblat untuk menghadap Allah) maka di situlah arah yang diredai Allah; sesungguhnya Allah Maha Luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi sentiasa Mengetahui. ( Ayat 115 : Surah al-Baqarah )

Friday, 20 May 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "HIJAB MENUTUP DIRI DAN ALAM GHAIB"


USAHA KAMU UNTUK MENYINGKAP KEAIBAN YANG TERSEMBUNYI DALAM DIRI KAMU ADALAH LEBIH BAIK DARIPADA USAHA KAMU UNTUK TERBUKA BAGI KAMU TIRAI GHAIB.

Sekiranya kita mengamati Kalam-kalam Hikmat yang telah dihuraikan terlebih dahulu, kita akan mendapati bahawa suasana yang terbaik dan kurang baik sering digandingkan. Kita akan lebih tercenderung untuk melihat kepada suasana yang terbaik, dengan itu mengarahkan usaha kita menuju ke arahnya. Tetapi, kita tidak terlepas daripada sifat jahil dan tergopoh gapah. Kita mudah terkeliru dalam memilih jalan serta tidak sabar menanti hasil yang baik. Sebelum kita melencung lebih jauh, Hikmat 40 ini memberi teguran dan petunjuk jalan yang betul. Kita tidak seharusnya hanya asyik memandang kepada mereka yang dipilih untuk sampai kepada Allah s.w.t dan dibukakan kepada mereka ini tabir yang menutup segala keghaiban. Walaupun kita terpesona dengan pencapaian yang telah mereka perolehi, kita tidak sepatutnya mengarahkan semangat dan usaha gigih untuk mencapai keadaan yang serupa. Sudah menjadi kebiasaan untuk sebahagian ahli tarekat mengarahkan amal ibadat dan zikir bagi tujuan menyingkap tabir ghaib. Beberapa jenis zikir diamalkan untuk memecahkan hijab-hijab tertentu. Zikir-zikir secara demikian tidak menyampaikan seseorang hamba kepada Tuhannya. Setelah mereka banyak berzikir namun, hati mereka masih berasa jauh daripada Tuhan, maka mereka mula berasa berputus-asa dan timbullah keraguan di dalam hatinya. Keadaan yang demikian terjadi kepada  orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kedudukan.

Ada pula orang yang menjadikan zikir sebagai alat untuk memperolehi kekeramatan. Di tengah jalan mereka mendapat jazbah khadam lalu dibawa ke alam khadam. Terpesonalah mereka dengan berbagai-bagai makhluk halus yang mempamerkan berbagai-bagai keanehan sehingga lupalah mereka kepada Allah s.w.t yang menjadi maksud dan tujuan. Mereka tidak lagi meminta kepada Allah s.w.t tetapi meminta kepada khadam. Bertambah teballah dinding antara mereka dengan tauhid yang hakiki. Kalam Hikmat di atas menarik orang yang baharu dalam perjalanan supaya menetapkan kaki atas landasan yang betul iaitu dengan memerhatikan kepada diri sendiri, memeriksa segala keaiban diri dan memperbetulkannya, sesuai dengan firman Allah s.w.t:

Dan juga pada diri kamu sendiri. Maka mengapa kamu tidak mahu melihat serta memikirkan (dalil-dalil dan bukti itu)? ( Ayat 21 : Surah adz-Dzaariyaat )

Ungkapan yang popular di kalangan ahli tasauf adalah:

Siapa yang kenal dirinya kenallah Tuhannya. Siapa yang kenal Tuhannya binasalah jasadnya.

Usaha menyingkap keghaiban yang menyelimuti diri sendiri adalah sebaik-baik pekerjaan untuk mencapai tujuan. Kenalilah keaslian diri sendiri yang suci murni. Ia tidak dapat mengeluarkan cahayanya kerana ditutup oleh keaiban dan kekotoran yang melekat di hati. Arahkan usaha dan perhatian untuk mencari keaiban dan kekotoran tersebut, agar dapat dihapuskan dan dibersihkan. Apabila kulit yang membalut keaslian itu sudah terbuang baharulah diri kita dapat memancarkan sinarnya. Allah s.w.t adalah nur bagi langit dan bumi. Apabila Nurullah memancar dari Hadrat Ilahi dan bertemu dengan Nurullah yang memancar dari lubuk hati nurani hamba, maka terjadilah pertemuan Nurullah dari atas dengan Nurullah dari bawah:

Cahaya berlapis cahaya. Allah memimpin sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang dan peraturan-Nya) kepada nur hidayah-Nya itu; dan Allah mengemukakan berbagai-bagai misal perbandingan untuk umat manusia; dan Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )

Hamba menyaksikan ketuhanan Allah s.w.t dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba. Inilah makam musyahadah. Sekiranya kita mahu mencapai makam ini berusahalah menyucikan diri sendiri kemudian berserah terus kepada Allah s.w.t. Kuncinya ialah firman Allah:

Katakanlah (kepada mereka): “Allah jualah (yang menurunkannya)”, kemudian, biarkanlah mereka leka  bermain-main dalam kesesatannya. ( Ayat 91 : Surah al-An’aam )

Hanya orang yang benar-benar berserah diri kepada Allah s.w.t boleh berkata: “Allah yang berkuasa! Allah yang mengetahui! Allah itu dan Allah ini. Allah segala-galanya”. Kemudian mereka berpegang teguh dengan pengakuan itu dan tidak memperdulikan lagi apa yang terjadi. Allah s.w.t menyambut para hamba yang demikian dengan firman-Nya:

Sesungguhnya orang-orang yang menegaskan keyakinannya dengan  berkata, “Tuhan kami ialah Allah!”, kemudian mereka tetap teguh di atas jalan yang betul, akan turunlah malaikat kepada mereka dari semasa ke semasa  (dengan memberi ilham): “Janganlah kamu bimbang (dari berlakunya perkara yang tidak baik terhadap kamu)  dan janganlah kamu berdukacita, dan terimalah berita gembira bahawa kamu akan beroleh syurga yang telah dijanjikan kepada kamu”. ( Ayat 30 : Surah Fussilat )
 
Jalan untuk mencapai keteguhan hati adalah dengan berserah diri kepada Allah s.w.t. Keteguhan hati membawa seseorang kepada syurga semasa hidupnya. Syurga ini dinamakan makrifat dan ia lebih indah daripada syurga akhirat kerana syurga akhirat adalah makhluk sedangkan syurga makrifat adalah Empunya syurga akhirat itu. Jika syurga akhirat itu sangat indah dan sangat sejahtera maka Empunya syurga itu Maha Indah dan Maha Sejahtera. Apalah nilai keindahan di sisi Pemilik yang melahirkan keindahan, semua keindahan adalah pancaran Keindahan-Nya. Inilah nikmat yang Allah s.w.t sediakan kepada hamba-hamba-Nya yang sanggup terjun ke dalam dirinya sendiri dan melupakan yang lain-lainnya, tidak mengejar kemuliaan duniawi dan ukhrawi, tidak mencari kasyaf dan kekeramatan, tidak menuntut sesuatu apa pun kecuali menyerahkan segala-galanya kepada Allah s.w.t dan reda dengan semua keputusan-Nya.

Thursday, 12 May 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "NUR-NUR KURNIAAN ALLAH S.W.T"


DIKURNIAKAN PETUNJUK KEPADA ORANG-ORANG YANG BERJALAN KEPADA ALLAH S.W.T DENGAN NUR-NUR TAWAJJUH (MENGHADAP ALLAH S.W.T) DAN BAGI ORANG YANG TELAH SAMPAI BAGI MEREKA IALAH NUR-NUR AL-MUWAAJAHAH (MUSYAHADAH ATAU SALING BERHADAPAN ANTARA HAMBA DENGAN ALLAH S.W.T). MEREKA YANG PERTAMA ITU ADALAH UNTUK NUR-NUR, SEDANGKAN MEREKA YANG TELAH SAMPAI ADALAH NUR-NUR ITU BUAT MEREKA LANTARAN MEREKA INI ADALAH KERANA ALLAH S.W.T BUKAN KERANA SESUATU SELAIN-NYA. KATAKANLAH: “ALLAH!” KEMUDIAN BIARKAN MEREKA (ORANG RAMAI) BERMAIN-MAIN DALAM KESESATAN.

Hikmat 39 ini menceritakan keadaan dua golongan yang dipanggil sebagai ahli tawajjuh dan ahli musyahadah. Ahli tawajjuh adalah orang salih yang berpegang teguh kepada syariat Allah s.w.t dan biasanya digelar ahli syariat. Orang salih atau ahli syariat melihat dirinya sebagai satu individu yang berkedudukan sebagai hamba Allah s.w.t. Dia berkewajipan melaksanakan segala perintah Allah s.w.t dan menjauhkan segala larangan-Nya. Dia melaksanakan amal kebaikan dengan ikhlas, tidak didorong oleh riak dan ujub, tidak berbuat sama’ah dan tidak menyombong dengan amal tersebut. Allah s.w.t memberkati amal ibadat yang demikian dan mengurniakan kepada mereka Nur Tawajjuh. Nur yang demikian membuat mereka merasa damai dan tenang serta bertambah rasa kehampiran dengan Allah s.w.t. Mereka tidak berasa berat untuk melakukan ibadat walau berapa banyak sekalipun kerana semakin banyak ibadat yang mereka lakukan semakin mereka memperolehi taqarrub (mendekat dan berhadap kepada Allah s.w.t) dan semakin mereka merasa kelazatan beribadat. Mereka bukan sahaja meninggalkan perkara yang haram tetapi juga yang mubah. Banyak daripada perkara yang halal ditinggalkan bagi menjaga agar mereka tidak terdorong mendekati yang haram, apa lagi melakukannya. Inilah sifat ahli syariat, memakai pakaian warak dan berjalan dengan Nur Tawajjuh.

Golongan kedua ialah ahli musyahadah, biasanya dipanggil ahli hakikat. Ahli hakikat ialah orang yang mencapai hakikat syariat dan tauhid sehingga tidak melihat lagi sesuatu kecuali Allah s.w.t. Mereka menyaksikan bahawa Allah s.w.t adalah Tuhan Yang Maha Berdiri Dengan Sendiri, Maha Mentadbir dan Maha Menentukan. Mereka menyaksikan sifat Allah Yang Maha Sempurna dan Kekal. Pandangan mereka hanya tertumpu kepada Allah Azza wa Jalla. Segala yang maujud tidak memberi bekas pada hati mereka, hanya Wujud Allah s.w.t yang menguasainya, terjadilah musyahadah iaitu saling berhadapan. nur-nur al-muwaajahah meleburkan hijab yang menutupi alam maujud lalu mata hati melihat kepada Yang Tersembunyi disebalik yang nyata. Hamba melihat Rahsia Tuhan yang selama ini terhijab oleh Alam al-Mulk (alam kejadian) dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya. Terbukalah kepada si hamba rahsia Alam Malakut dan nyatalah kedudukan hamba sebagai ayat atau tanda wujud. Hamba melihat ketuhanan Allah s.w.t yang meliputi segala sesuatu dan Allah s.w.t menyaksikan pengabdian hamba-Nya meliputi ilmunya, ahwalnya dan hatinya.

Allah s.w.t bukakan tabir hijab agar mata hati hamba-Nya dapat menyaksikan kerajaan-Nya yang meliputi yang nyata dan juga yang ghaib.

Dan demikianlah Kami perlihatkan kepada Nabi Ibrahim kebesaran dan kekuasaan (Kami) di langit dan di bumi, dan supaya menjadilah ia dari orang-orang yang percaya dengan sepenuh-penuh yaqin. ( Ayat 75 : Surah al-An’aam )

Dan janganlah engkau menyembah tuhan yang lain bersama-sama Allah. Tiada  Tuhan melainkan Dia. Tiap-tiap sesuatu akan binasa melainkan Zat Allah.  ( Ayat 88 : Surah al-Qasas )

Ada perbezaan pandangan di antara ahli syariat dan ahli hakikat. Ahli syariat berjihad membunuh musuh-musuh Allah s.w.t kerana mengharapkan keredaan-Nya, moga-moga Allah s.w.t mengurniakan kepada mereka nur-nur yang membawa mereka hampir kepada-Nya. Ahli hakikat pula ketika berjihad dan membunuh mereka melihat kepada firman Allah s.w.t:

Maka bukanlah kamu yang membunuh mereka, akan tetapi Allah jualah yang menyebabkan pembunuhan mereka. Dan bukanlah engkau (wahai Muhammad) yang melempar ketika engkau melempar, akan tetapi Allah jualah yang melempar (untuk membinasakan orang-orang kafir). ( Ayat 17 : Surah al-Anfaal )

Orang-orang yang sampai kepada Allah s.w.t berkecimpung dalam nur-nur kerana:

Allah yang menerangi langit dan bumi. ( Ayat 35 : Surah an-Nur )

Nurullah menjadi jelas nyata pada penglihatan mata hati ahli musyahadah. Kewujudan langit dan bumi tidak menghijab mata hati mereka. Tidak mungkin terlihat langit dan  bumi jika  Nurullah tidak menerangi keduanya.