Friday 29 April 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "PELUANG MENDEKATI ALLAH S.W.T"




JANGAN MENANTIKAN SELESAI SEGALA HALANGAN, KERANA YANG DEMIKIAN AKAN MENGHALANG KAMU DARI MENDEKATI ALLAH S.W.T MELALUI SESUATU YANG ENGKAU DIDUDUKKAN DI DALAMNYA.

Setelah merenung  Hikmat yang lalu kita telah dapat melihat dan menghayati persoalan  Qadar secara terperinci hingga kepada batas hembusan satu nafas. Pada setiap ketika kita didudukkan di dalam medan Qadar. Qadar membawa kepada kita kejadian, suasana, rupa bentuk, nama-nama dan lain-lain. Masing-masing menarik hati kita kepadanya. Apa sahaja yang bertindak menarik hati menjadi penghalang untuk kita mendekati Allah s.w.t. Oleh sebab perjalanan Qadar tidak akan berhenti maka kewujudan halangan-halangan juga tidak akan habis. Jika kita lemas di dalam lautan Qadar, pandangan kita disilaukan oleh warna-warnanya dan kita dimabukkan oleh gelombangnya, maka selama-lamanya kita akan terhijab dari Allah s.w.t. Tujuan kita beriman kepada Qadak dan Qadar bukanlah untuk kita lemas di dalam lautannya. Kita hendaklah tahu mengikuti rentak ombaknya dan tiupan anginnya sambil perhatian kita tertuju kepada daratan, bukan membiarkan diri kita terkubur di dasar laut. Ketika menghadapi ombak Qadar kita hendaklah menjaga perahu yang kita naiki. Perahu tersebut ialah sama ada perahu asbab atau perahu tajrid. Jika kita menaiki perahu asbab kita perlu berdayung dan menjaga kemudinya sesuai mengikut perjalanan sebab musabab. Jika kita berada dalam perahu tajrid kita akan ditolak oleh kuasa enjin tajrid tetapi kita masih perlu mengawal kemudinya agar tidak lari dari daratan yang dituju.

Setiap Qadar yang sampai kepada kita membawa kita memasuki ruang dan waktu. Pada setiap ruang dan waktu yang kita ditempatkan itu ada kewajipan yang perlu kita laksanakan. Ia merupakan amanah yang dipertaruhkan oleh Allah s.w.t kepada kita. Qadar adalah utusan yang mengajak kita memerhatikan perbuatan Allah s.w.t, sifat-sifat-Nya, nama-nama-Nya dan Zat-Nya Yang Maha Suci, Maha Mulia dan Maha Tinggi. Tidak ada satu Qadar, tidak ada satu ruang dan waktu yang padanya tidak terdapat ayat-ayat atau tanda-tanda yang menceritakan tentang Allah s.w.t. Kegagalan untuk melihat kepada ayat-ayat  Allah s.w.t itu adalah kerana perhatian hanya tertumpu kepada makhluk dan kejadian yang menjadi sebab musabab yang dibawa oleh Qadar yang menempati sesuatu ruang  dan waktu itu. Apabila perhatian tertumpu kepada makhluk dan kejadian maka makhluk dan kejadian itu menjadi hijab antara hamba dengan Allah s.w.t. Hamba akan melihat makhluk dan kejadian mempunyai kesan terhadap sesuatu dan dia lupa kepada kekuasaan Allah s.w.t yang mengawal segala sesuatu itu. Kewajipan si hamba ialah menghapuskan hijab tersebut agar apa juga Qadar, ruang dan waktu yang dia berada di dalamnya, dia tetap melihat kepada ayat-ayat Allah s.w.t. Hatinya tidak putus bergantung kepada Allah s.w.t. Ingatannya tidak luput dari mengingati Allah s.w.t. Mata hatinya tidak lepas dari memerhatikan sesuatu tentang Allah s.w.t. Ingatan dan perasaannya sentiasa bersama Allah s.w.t. Setiap Qadar, ruang dan waktu adalah kesempatan baginya mendekati Allah s.w.t.

Hati kita boleh mengarah kepada dunia atau kepada akhirat ketika menerima kedatangan sesuatu Qadar. Biasanya tarikan kepada dunia kita anggapkan sebagai halangan sementara tarikan kepada akhirat kita anggap sebagai jalan yang menyampaikan. Sebenarnya kedua-duanya adalah halangan kerana kedua-duanya adalah alam atau makhluk yang Tuhan ciptakan. Syurga, bidadari, Kursi dan Arasy adalah makhluk yang Tuhan ciptakan. Alam ini kesemuanya adalah gelap gelita, yang meneranginya adalah kerana nampaknya Allah s.w.t padanya (Hikmat 14). Alam adalah cermin yang memperlihatkan cahaya Allah s.w.t yang padanya ada kenyataan Allah s.w.t. Oleh yang demikian walau di dalam Qadar apa sekali pun kita berada, kesempatan untuk melihat Allah s.w.t dan mendekat kepada-Nya tetap ada. Kesempatan ini adalah hak Allah s.w.t terhadap hamba-Nya. Hak ini wajib ditunaikan pada waktu itu juga, tidak boleh ditunda  kepada waktu yang lain, kerana pada waktu yang lain ada pula hak Allah s.w.t yang lain.
 
Setengah ulama memfatwakan bahawa sembahyang yang terlepas dari waktunya boleh dilakukan semula secara qada. Sekali pun sembahyang boleh dibuat secara qada tetapi hak Allah s.w.t yang telah terlepas tidak boleh diqada. Hamba yang benar-benar menyempurnakan kewajipannya terhadap hak Allah s.w.t ialah yang tidak berkelip mata hatinya memandang kepada Allah s.w.t, tidak kira didudukkan dalam suasana atau Qadar apa sekalipun. Setiap waktu dan ruang yang dimasukinya adalah jambatan yang menghubungkannya dengan Tuhannya.

Thursday 28 April 2011

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "QADAR YANG LEBIH HALUS"


TIADA SATU NAFAS TERLEPAS DARIPADA KAMU MELAINKAN DI SITU PULA ADA QADAR YANG BERLAKU DI ATAS KAMU.

Persoalan Qadar telah disentuh pada Hikmat 3 dan kembali disentuh oleh Hikmat 30 ini. Persoalan Qadar dibangkit semula setelah disinggung tentang permintaan atau doa yang bermaksud tuntutan terhadap Allah s.w.t. Tuntutan-tuntutan timbul lantaran kurang menghayati tentang Qadar. Kini kita diajak merenung perkara Qadar kepada yang sangat halus iaitu satu nafas yang terjadi kepada kita. Kita kurang memerhatikan tentang nafas kerana ia terjadi secara spontan, tanpa bersusah payah dan kita anggap remeh untuk diperhatikan. Sekarang perkara yang kita anggap remeh inilah yang hendak kita perhatikan dengan saksama. Apakah berbeza perkara yang dianggap remeh dengan perkara yang dianggap besar dalam perkaitannya dengan perjalanan Qadar. Kita perlu bertanya kepada diri kita sendiri adakah setiap nafas yang kita hembuskan itu berlaku secara percuma, tanpa perkiraan, tidak mengikut sukatan yang Allah s.w.t tentukan? Adakah apabila kita hembuskan satu nafas hanya nafas sahaja yang berlaku atau pada masa yang sama berbagai-bagai lagi Qadar yang terjadi? Perkara yang dianggap kecil ini haruslah direnung dengan mendalam agar kita mendapat pengertian tentang Qadar secara terperinci.
  
Nafas ialah udara yang keluar masuk pada badan kita melalui mulut dan hidung. Satu hembusan udara yang keluar dari badan kita dipanggil satu nafas. Nafas ini penting bagi jasmani kita. Nafas menjadi nyawa kepada diri kita yang zahir. Penghidupan diri yang zahir diukur dengan perjalanan nafas. Kita biasanya menyukat umur kita dengan kiraan tahun. Kita tidak menyukat umur kita dengan kiraan bulan, apa lagi kiraan hari dan jam. Sebenarnya sukatan yang tepat tentang umur ialah nafas. Berapa jutaan hembusan nafas itulah umur kita.

Kita melihat Qadar sebagai ketentuan Ilahi yang berlaku kepada kita dalam sekop yang luas. Sikap memandang Qadar secara meluas menyebabkan kita terlindung untuk melihatnya pada setiap detik dan setiap kejadian. Sebab itu kita sering terkeluar daripada berpegang kepada Qadar. Andainya kita memandang hidup secara tepat iaitu dengan hitungan nafas nescaya kita akan melihat Qadar secara halus sebagaimana halusnya kiraan nafas. Dapatlah kita menghayati benar-benar bahawa pada setiap hembusan nafas itu berlaku Qadar menurut ketentuan Ilahi. Jumlah udara yang keluar masuk pada badan kita bagi setiap perjalanan nafas adalah menurut sukatan yang Allah s.w.t tentukan. Jumlah nafas yang akan kita hembuskan juga telah ditentukan oleh Allah s.w.t dan apabila  jumlah nafas yang telah disediakan untuk kita itu habis maka kita akan mati. Jika kita dapat melihat perjalanan Qadar hingga kepada peringkat yang halus ini, nescaya pandangan mata hati kita tidak akan terlepas daripada melihat Qadar pada setiap detik dan pada setiap kejadian. Kita akan melihat bahawa jumlah air hujan yang bertitik di atas bumbung rumah kita adalah mengikut sukatan yang telah ditentukan Allah s.w.t. Bilangan debu yang berterbangan juga ditentukan Allah s.w.t. Helaian rambut yang gugur dari kepala kita juga ditentukan Allah s.w.t. Panjang, lebar dan dalam luka yang kita alami ketika berlaku kemalangan juga ditentukan Allah s.w.t. Tidak ada satu pun yang menyimpang dari Qadar menurut ketentuan Ilahi. Sesungguhnya Allah s.w.t, al-Latif, Maha Halus, tidak ada sesuatu yang terkeluar daripada perkiraan dan pentadbiran-Nya. Tidak ada sesuatu yang terlepas daripada sukatan dan timbangan-Nya. Semua makhluk berjalan di atas landasan Qadar yang diaturkan-Nya. Sesungguhnya Allah s.w.t tidak sekali-kali lalai, tidur atau keliru. Apa yang Dia tentukan itulah yang berlaku. Sesungguhnya Allah Maha Bijaksana, tidak ada yang sumbang pada penciptaan dan perjalanan penciptaan-Nya.

Tiada sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku tetap di atas jalan yang lurus. ( Ayat 56 : Surah Hud )

Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan  di bumi, dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan  yang demikian itu adalah mudah bagi Allah. ( Ayat 22 : Surah al-Hadiid )
 
Allah s.w.t mengadakan ketentuan sejak azali. Tidak ada sesiapa yang tahu tentang ketentuan Allah s.w.t. Malaikat hanya menjalankan perintah-Nya. Apa yang pada sisi malaikat boleh diubah oleh-Nya, tetapi apa yang pada sisi-Nya tidak pernah berubah. Malaikat menjalankan tugas dan manusia melakukan kewajipan. Tuhan yang memiliki ketentuan yang mutlak. Doa dan amal manusia mungkin menjadi asbab kepada berlakunya perubahan pada apa yang berada dengan malaikat yang menjalankan tugas, jika Tuhan izinkan, tetapi ia tidak mengubah apa yang pada sisi Tuhan. Ilmu Tuhan meliputi yang awal dan yang akhir. Segala sesuatu telah ada pada Ilmu-Nya sebelum ia berlaku lagi. Urusan yang demikian sangat mudah bagi Allah s.w.t. Malaikat dan manusia tidak memiliki ilmu yang demikian. Malaikat semata-mata patuh kepada apa yang Allah s.w.t perintahkan. Manusia pula perlu bergerak pada makamnya dan berusaha meningkatkan perkembangan kerohaniannya sehingga dia menjadi sesuai dengan kehendak Allah s.w.t.

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "PERMINTAAN DAN KEDUDUKAN"



PERMINTAAN DARIPADA-NYA MENUNJUKKAN KURANG PERCAYAMU KEPADA-NYA. PERMINTAAN KEPADA-NYA MENUNJUKKAN KAMU TIDAK MELIHAT-NYA.  PERMINTAAN KEPADA LAINNYA MENUNJUKKAN SEDIKIT MALU TERHADAP-NYA. PERMINTAAN DARI LAINNYA MENUNJUKKAN JAUHNYA KAMU DARIPADA-NYA.

Hikmat 29 ini adalah umpama alat untuk menilai diri sendiri. Perhatikan kecenderungan kita dalam mengajukan permintaan. Jika kita cenderung meminta dari lain-Nya,  kita ajukan permintaan kepada sesama makhluk, itu tanda hati kita berpaling jauh daripada Allah s.w.t. Hati kita merasakan seolah-olah makhluk memiliki kuasa penentu sehingga hati kita tidak dapat melihat kepada kekuasaan Tuhan. Cermin hati kita dibaluti oleh awan gelap yang mengandungi gambar-gambar benda alam, tuntutan syahwat, permainan hawa nafsu yang melalaikan dan tumpukan dosa yang tidak dibersihkan dengan taubat. Hati yang mengalami keadaan begini dinamakan nafsu ammarah.

Ammarah bukan sahaja menyerang orang jahil, orang alim dan ahli ibadat juga boleh menerima serangannya dan mungkin tewas kepadanya. Agar orang alim tidak terpedaya oleh ilmunya dan ahli ibadat tidak terpedaya oleh amalnya, perhatikan tempat jatuh permintaan. Jika warna-warni keduniaan seperti harta, pangkat dan kemuliaan yang menjadi tuntutannya dan kesungguhan usaha dan ikhtiarnya ditujukan semata-mata kepada manusia dan alat dalam mendapatkan keperluannya, itu menjadi tanda bahawa hatinya berpaling jauh dari Allah s.w.t. Perbetulkan wajah hati agar ia menghadap kepada Allah s.w.t. Bila wajah hati menghadap kepada Wajah Allah s.w.t dapatlah mata hati melihat bahawa Allah s.w.t sahaja yang berkuasa sementara makhluk hanyalah bekas tempat zahir kesan kekuasaan-Nya.

Golongan kedua pula meminta kepada lain-Nya, iaitu walaupun dia memohon kepada Allah s.w.t tetapi yang dipinta adalah sesuatu selain Allah s.w.t. Dia mungkin meminta agar Allah s.w.t mengurniakan kepadanya harta, pangkat dan kemuliaan di sisi makhluk. Permintaannya sama seperti golongan yang pertama cuma dia meminta kepada Allah s.w.t tidak kepada makhluk. Orang yang dari golongan ini yang lebih baik sedikit ialah yang memohon kepada Allah s.w.t agar dikurniakan faedah-faedah akhirat seperti pahala, syurga dan juga keberkatan. Permintaan yang berupa faedah duniawi dan ukhrawi menunjukkan sikap kurang malunya seseorang hamba itu terhadap Allah s.w.t. Orang yang seperti ini hanya melihat kepada nikmat tetapi tidak mahu mengenali Pemberi nikmat. Perhatikan kepada diri kita, apakah kita asyik merenget meminta itu dan ini daripada Allah s.w.t. Jika sifat demikian ada pada kita, itu tandanya hati kita masih keras dan perlu dilembutkan dengan zikrullah dan amal ibadat agar lahirlah sifat malu terhadap Allah s.w.t Yang Maha Lemah-lembut dan Maha Bersopan Santun.

Ada pula orang yang membuat permintaan kepada-Nya, iaitu meminta agar dia didekatkan kepada-Nya. Dia merasakan dirinya jauh dari Allah s.w.t. Inilah orang yang mata hatinya tertutup, tidak dapat melihat bahawa Allah s.w.t lebih hampir kepadanya daripada urat lehernya sendiri, Allah s.w.t sentiasa bersama-samanya walau di mana dia berada. Bagaimana melihat Allah s.w.t lebih hampir dari urat leher dan Allah s.w.t sentiasa bersama walau di mana kita berada, tidak dapat dihuraikan. Ia bukanlah penglihatan mata tetapi penglihatan rasa atau penglihatan mata hati. Perhatikanlah, andainya kita cenderung meminta agar didekatkan kepada Allah s.w.t itu tandanya mata hati kita masih kelabu, maka sucikanlah hati dengan sembahyang, berzikir dan ibadat-ibadat lain.

Golongan keempat adalah yang mengajukan permintaan daripada-Nya. Orang ini mengakui bahawa Allah s.w.t sahaja yang memiliki segala-galanya. Hanya Allah s.w.t yang berhak memberi apa yang dimiliki-Nya. Permintaan seperti ini menunjukkan kurang percayanya kepada Allah ar-Rahman, Yang Maha Pemurah dan al-Karim, Yang Memberi tanpa diminta. Bukankah ketika kita di dalam kandungan ibu kita belum pandai meminta tetapi Allah s.w.t telah memberi yang sebaik-baiknya kepada kita. Allah s.w.t yang telah memberi ketika kita belum pandai meminta itu jugalah Tuhan kita sekarang ini dan sifat murah-Nya yang sekarang ini seperti yang dahulu itu juga. Ketika kita belum pandai meminta kita mempercayai-Nya sepenuh hati mengapa pula bila kita sudah pandai meminta kita menjadi ragu-ragu terhadap kemurahan-Nya. Perhatikanlah, jika kita masih meminta-minta itu tandanya belum bulat penyerahan kita kepada-Nya. Penting bagi orang yang melatihkan dirinya untuk dipersiapkan menemui Tuhan membulatkan penyerahan kepada-Nya tanpa keraguan sedikit pun.

Ketika membincangkan Hikmat 28 telah dihuraikan keadaan orang yang telah memperolehi perkaitan dengan hakikat. Kesempatan mengalami hakikat bukanlah akhir pencapaian. Seseorang haruslah mencapai makam keteguhan hati sebelum mencapai makam kewalian. Pada makam kewalian si hamba dikurniakan penjagaan dan perlindungan-Nya. Orang yang belum sampai kepada keteguhan hati tidak lepas dari mengajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Permintaannya bukan lagi berbentuk duniawi atau ukhrawi tetapi yang dimintanya ialah keteguhan hati, penjagaan dan pelindungan-Nya. Permintaan orang yang berada pada peringkat ini menunjukkan dia belum bebas sepenuhnya dari sifat-sifat kemanusiaan iaitu dia belum mencapai fana hakiki. Orang yang berada pada peringkat ini haruslah berhati-hati dengan pencapaiannya. Janganlah terpedaya dengan perolehan makrifat kerana makrifat itu juga merupakan ujian.

Ketahuilah jika seseorang mendatangi Allah s.w.t berbekalkan amal maka Allah s.w.t menyambutnya dengan  perhitungan. Jika amalnya dihisab dengan teliti nescaya tidak ada satu pun yang layak dipersembahkan kepada Allah s.w.t. Jika dia mendatangi-Nya dengan ilmu pengetahuan maka Allah s.w.t menyambutnya dengan tuntutan. Ilmunya tidak mampu menyatakan kebenaran yang hakiki. Jika dia mendatangi-Nya dengan makrifat maka Allah s.w.t menyambutnya dengan hujah. Dia tidak akan dapat memperkenalkan Allah s.w.t.

Oleh itu singkirkan tuntutan dan pilihan agar Allah s.w.t tidak membuat tuntutan kepada kita. Lepaskan ilmu kita, amal kita, makrifat kita, sifat kita, nama kita dan segala-galanya agar kita menemui Allah s.w.t seorang diri tanpa sebarang bekal. Jika mahu mencapai keadaan ini ikhlaskan hati untuk semua amal perbuatan kita. Baikkan niat dan bersabar tanpa mengeluh atau membuat tuntutan. Kemudian naik kepada reda dengan hukum-Nya. Insya’ Allah kita akan menemui-Nya, iaitu pertemuan ubudiyah dengan Rububiah.

Suasana yang disebutkan di atas telah digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dengan sabda baginda s.a.w yang bermaksud: “Tidak ada amalan anak Adam yang melepaskan dirinya dari azab Allah s.w.t melebihi amalan berzikir kepada Allah ‘Azza wa Jalla”. Baginda s.a.w juga bersabda yang bermaksud: “Berfirman Allah ‘Azza wa Jalla: ‘Barangsiapa menghabiskan waktunya berzikir kepada-Ku, tanpa meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya yang lebih utama daripada apa yang Aku berikan kepada mereka yang meminta’”.

Zikir yang sebenar adalah penyerahan secara menyeluruh kepada Allah s.w.t dalam segala perkara agama baik yang mengenai dunia mahupun yang mengenai akhirat. Sembahyangnya, ibadatnya, hidupnya dan matinya hanya kerana Allah s.w.t semata-mata. Dia bersembahyang, beribadat dan melakukan sesuatu pekerjaan atau perbuatan kerana mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. Sekiranya Allah s.w.t tidak menjadikan syurga dan neraka, juga tidak mengadakan dosa dan pahala, maka sembahyangnya, ibadatnya, pekerjaannya dan perbuatannya tetap juga serupa. Mutu kerja yang dia menerima upah dan kerja yang dia tidak menerima upah adalah serupa. Hatinya tidak cenderung untuk memerhatikan upah kerana apa sahaja yang dia lakukan adalah kerana Allah s.w.t. Hatinya bukan sahaja tidak memerhatikan upah daripada manusia, bahkan ia juga tidak mengharapkan apa-apa balasan dari Allah s.w.t. Kekuatan untuk mengingati Allah s.w.t dan berserah diri kepada-Nya merupakan ‘upah’ yang sangat besar, tidak perlu lagi menuntut upah yang lain.
 
Hamba yang zikirnya sudah larut ke dalam penyerahan, segala urusan hidupnya diuruskan oleh Tuhannya. Dia adalah umpama bayi yang baharu lahir, sentiasa dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh ibunya. Pemeliharaan, penjagaan dan perlindungan Allah s.w.t melebihi apa juga yang mampu dikeluarkan oleh makhluk. Hamba yang Allah s.w.t masukkan ke dalam daerah pemeliharaan, penjagaan dan perlindungan-Nya itu dipanggil wali Allah, iaitu hamba yang dipelihara, dijaga dan dilindungi oleh Allah s.w.t daripada lupa kepada-Nya, derhaka kepada-Nya, hilang pergantungan kepada-Nya dan juga daripada gangguan makhluk-Nya.

Sufi's Life : Kitab Al- Hikam (Imam Ibnu Athaillah) "PEMBIMBING JALAN HAKIKI"




TIDAK BERCITA-CITA SEORANG SALIK UNTUK BERHENTI KETIKA TERJADI KASYAF (TERBUKA PERKARA GHAIB) MELAINKAN SUARA HAKIKI BERSERU KEPADANYA: “ APA YANG KAMU CARI MASIH JAUH DI HADAPAN  (OLEH ITU JANGAN KAMU BERHENTI)!” DAN TIDAK TERBUKA BAGINYA ALAM MAYA MELAINKAN DIPERINGATKAN OLEH HAKIKAT ALAM ITU: “SESUNGGUHNYA  KAMI ADALAH UJIAN, KERANA ITU JANGANLAH KAMU KUFUR!"

Latihan penyucian hati membawa rohani si salik meningkat dari satu peringkat kepada peringkat yang lebih tinggi. Kekuatan rohaninya bertambah dan pada masa yang sama juga pengaruh serta kesedaran inderawinya berkurangan. Dalam keadaan seperti ini rohaninya mampu menjadi penasihat kepada dirinya sendiri. Bila terlintas dalam hatinya untuk melakukan kesalahan akan tercetuslah perasaan membantah perbuatan tersebut, seolah-olah ada orang yang menasihatinya. Apabila sampai kepada satu peringkat kesucian hati akan terbuanglah dari hatinya lintasan-lintasan yang bersifat duniawi, syaitani dan nafsi.

Lintasan duniawi mengheret kepada kelalaian, keseronokan dan kesenangan harta benda. Lintasan syaitani mengheret kepada melakukan syirik dan bidaah yang bertentangan dengan Sunah Rasulullah s.a.w. Lintasan nafsi pula mendorong kepada maksiat dan kemunkaran. Bila hati sudah terdinding daripada lintasan-lintasan jahat maka hati akan didatangi oleh lintasan malaki (malaikat) dan Rahmani (Tuhan).

Lintasan malaki mengajak kepada berbuat taat kepada Allah s.w.t dan meninggalkan tegahan-Nya. Lintasan Rahmani pula adalah tarikan langsung daripada Tuhan. Dalam lintasan-lintasan duniawi, syaitani, nafsi dan malaki, manusia mempunyai pilihan untuk menerima ataupun menolak cetusan atau rangsangan yang diterimanya itu. Akal dan imannya boleh memikir dan menimbang akan sebab dan akibat jika dia mengikuti sesuatu rangsangan itu. Tetapi, dalam lintasan Rahmani hamba tidak ada pilihan, tidak ada hukum sebab musabab yang boleh mencegahnya dan tidak ada hukum logik yang boleh menghuraikannya. Misalnya, seorang yang tidak pernah turun ke laut, tiba-tiba pada satu hari tanpa boleh ditahan-tahan dia pergi ke laut dan mandi, lalu mati lemas. Soalnya, tidak dapat diterangkan mengapa dengan tiba-tiba dia mahu mandi di laut dan dia tidak dapat melawan keinginan yang timbul dalam hatinya itu. Kuasa yang menariknya ke laut dan mandi lalu mati di situ dinamakan lintasan Rahmani atau tarikan ketuhanan. Dalam perjalanan kerohanian mungkin seorang salik itu menerima lintasan Rahmani yang mengheretnya melakukan sesuatu yang kelihatan aneh, tidak masuk akal dan dia sendiri tidak dapat memberi penjelasan tentang tindak tanduknya walaupun dia masih dapat melihat perbuatan yang dilakukan oleh dirinya sendiri itu.

Semasa pengembaraannya ke dalam alam kerohanian si salik mungkin memperolehi kasyaf iaitu terbuka keghaiban kepadanya. Dia dapat melihat apa yang tersembunyi. Dia mungkin dapat melihat kepada peristiwa yang akan berlaku, dan yang telah berlaku. Mungkin juga dia dikurniakan kekeramatan seperti ‘mulut masin’, berjalan di atas air, menyembuhkan penyakit dan lain-lain. Dia juga mungkin dapat melihat dengan mata hatinya keadaan Alam Barzakh, syurga dan neraka. Penemuan perkara-perkara yang ganjil, ajaib dan indah-indah boleh mempesonakan si salik dan boleh menyebabkan dia menjadi keliru dengan merasakan dia sudah sampai ke puncak, lalu dia berhenti di situ. Lebih membahayakan lagi jika si salik tidak mendapat bimbingan guru atau guru yang membimbingnya tidak memahami tentang selok-belok alam kerohanian. Si guru tidak dapat menjelaskan pengalaman aneh yang dialami oleh murid lalu si murid tidak ada pilihan kecuali membuat tafsirannya sendiri. Oleh sebab pengalaman tersebut adalah berkenaan perkara ghaib maka murid tadi mudah menyangkakan segala yang ghaib itu adalah aspek ketuhanan.

Di sini timbullah berbagai-bagai anggapan tentang Tuhan, kerana dia menyangkakan yang dia telah melihat zat Tuhan. Timbullah sangkaan yang Tuhan adalah nur dengan warna yang tertentu. Ada pula yang beranggapan Tuhan itu rupanya tegak seperti huruf alif. Ada pula yang mengatakan Tuhan adalah cahaya yang sangat halus. Bermacam-macam lagi anggapan tentang Tuhan muncul akibat kejahilan mengenai alam ghaib. Prasangka yang meletakkan Zat Allah s.w.t di dalam ruang dan berbentuk  adalah kekufuran. Bahaya penyelewengan akidah kepada orang yang belajar ilmu hakikat kepada yang bukan mursyid adalah besar. Orang yang belajar ilmu hakikat cara demikian membahaskan zat Ilahiat dengan menggunakan akalnya sedangkan akal tidak ada pengetahuan tentang zat.

Murid atau salik yang mendapat bimbingan daripada guru yang mursyid dan beroleh rahmat, taufik dan hidayat daripada Allah s.w.t akan dapat melalui fitnah yang tersebut di atas dengan selamat. Salik yang masuk ke dalam Tarikan ketuhanan akan berjalan terus walau apa pun yang ditemuinya di tengah jalan, sekalipun dia ditawarkan dengan syurga. Tarikan ketuhanan yang memimpin salik itu dinamakan Petunjuk Ilmu, Perintah Batin, Petunjuk Laduni atau Suara Hakiki atau Pembimbing Hakiki. Ia adalah tarikan langsung daripada Allah s.w.t agar hamba yang Allah s.w.t mahu temui itu selamat sampai kepada-Nya. Salik menafikan semua yang ditemuinya. Selagi boleh disaksikan ia adalah sifat bukan zat. Sepanjang perjalanannya salik melihat bekas gubahan Tuhan, pengungkapan hikmat kebijaksanaan-Nya dan tanda-tanda yang memberi pemahaman tentang Dia. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup rapat oleh nur di balik nur dan tidak dapat ditembusi oleh sesiapa pun dan penglihatan yang bagaimana pun. Jika nur yang disaksikan, maka nur adalah salah satu daripada tanda-tanda-Nya dan juga salah satu daripada Nama-nama-Nya. Setelah habis yang dinafikan salik sampai kepada puncak kedunguannya iaitu pengakuan tentang kelemahannya mengenai zat Ilahiat. Inilah puncak pencapaian dan orang yang sampai kepada hakikat ini dinamakan orang yang bermakrifat atau orang yang mengenal Allah s.w.t. Dia mencapai hakikat maksud:

Tidak ada sesuatu apa pun menyerupai-Nya.

Tidak ada yang menyerupai-Nya dan menyamai-Nya, mana mungkin ada gambaran tentang-Nya yang boleh ditangkap oleh penglihatan? Kebodohan dan kedunguan adalah hijab yang asli dan tidak mungkin tersingkap ditentang zat Ilahiat kecuali pada hari akhirat apabila seseorang hamba diizinkan memandang dengan pandangan mata. Sebelum itu tidak mungkin melihat Allah s.w.t dengan terang-terang. Apa yang diistilahkan sebagai melihat Allah s.w.t ialah menyaksikan Allah s.w.t pada sesuatu yang didalamnya terdapat bekas penciptaan-Nya, tanda-tanda-Nya, hikmat-Nya dan tadbir-Nya. Ia merupakan penglihatan akal serta mata hati atau melihat Nur-Nya iaitu melihat Rahsia Allah s.w.t yang tersembunyi pada sekalian kejadian-Nya. Zat Ilahiat tetap tinggal tertutup oleh keghaiban yang mutlak (Ghaibul Ghuyub).
 
Orang sufi selalu mengatakan mereka melihat Allah s.w.t. Apa yang mereka maksudkan ialah penglihatan ilmu dan penglihatan hati nurani, penglihatan yang mengandungi rasa kecintaan yang sangat mendalam terhadap Allah s.w.t, dan kerinduan yang membara di dalam hati mereka. Itulah penglihatan mereka yang gilakan Allah s.w.t. Jangan ditafsirkan ucapan mereka secara lafaz tetapi selami hati mereka untuk memahami keasyikan dan kemabukan yang mereka alami.